MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Bintulu

Kerajaan komited basmi buta huruf

 
BINTULU: Kerajaan komited membasmi buta huruf khususnya di kalangan penduduk luar bandar dengan sasaran sifar pada 2015.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui bidang pendidikan sama ada formal mahupun tidak formal amat menekankan agar masyarakat luar bandar berilmu dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Katanya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sejak setengah abad lalu telah menubuhkan Kelas Dewasa pada 1961 dalam usaha membasmi buta huruf di negara ini.

Jelasnya pada awal kemerdekaan, negara ini telah berusaha membasmi kadar buta huruf dengan melihat peranan pendidikan sebagai pelaburan yang menguntungkan bukan sahaja kepada individu bahkan negara.

“Kadar celik huruf yang tinggi mencerminkan keberkesanan sistem pendidikan yang dilaksanakan.

“Justeru peningkatan celik huruf penduduk luar bandar akan mencorak pembangunan modal insan sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi, sosial dan politik negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutupan Hari Literasi Luar Bandar Peringkat Negeri Sarawak 2012 anjuran KKLW dan KEMAS di Dewan Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu di sini semalam.

Katanya KEMAS dilihat telah berjaya membasmi masalah buta huruf sejak Gerakan Pembasmian Buta Huruf dilancarkan pada 1963.

“Ini turut membuktikan kerajaan komited membangun dan memantapkan bidang pendidikan dengan meningkatkan peluang pendidikan kepada semua rakyat di luar bandar tanpa mengira usia,” katanya.

Beliau merujuk kepada laporan oleh Global Monitoring Report (GMR) terbitan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) 2009 yang menganggarkan 776 juta orang dewasa atau 16 peratus menghadapi kelemahan dalam kemahiran asas literasi.

“Di negara ini kadar celik huruf orang dewasa yang berumur 15 tahun ke atas adalah 92.3 peratus pada 2007 dan kini naik kepada 96 peratus pada 2012.

“Pada 2015 Malaysia dijangka akan mencapai sifar buta huruf. Peningkatan literasi orang dewasa memberi impak positif terhadap pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa yang mendedahkan anak-anak kepada budaya membaca sejak kecil mampu mempengaruhi sikap anak-anak terhadap literasi.

Ketua Pengarah KEMAS Hassan Mohd Amin, Timbalan Pengarah KEMAS Nordin Ariffin, Pegarah KEMAS Sarawak Abang Rabae Abang Muhi, Pengarah IKM Bintulu Azman Ali, Timbalan Residen (Sosial) Richard Michael Abunawas dan Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni turut hadir dalam majlis itu.

Sumber : theborneopost.com