MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Kuching Selatan

DBKU mahu perkenal lorong khas basikal

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merancang untuk memperkenalkan lorong khas basikal di kawasan pentadbirannya sekitar Petra Jaya di sini.

Rancangan tersebut menurut Timbalan Ketua Pengarahnya Kartina Zamhari dalam proses dan sebagai permulaan, hanya laluan tertentu akan digunakan untuk lorong khas bagi projek perintis ini.

Jika terbukti berjaya daripada aspek keselamatan dan penggunaannya, lorong ini akan diperluaskan ke bandar-bandar lain untuk mempromosikan aktiviti berbasikal di kalangan masyarakat Kuching.

“Pengenalan lorong basikal adalah sebahagian daripada rancangan Bandar Selamat DBKU.

“Sepanjang lorong itu, majlis turut akan memperkenalkan ruang parkir basikal di lokasi strategik seperti hab pengangkutan awam,” katanya yang ditemui pada pelancaran kempen ‘Let’s Share The Road’ di Jalan Gambier di sini.

Kempen tersebut dianjurkan oleh DBKU dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Persatuan Berbasikal Sarawak.

Tambah Kartina majlis akan bekerjasama dengan polis untuk melukis pelan bagi ruang parkir basikal dan lorong basikal bagi memastikan keselamatan pengayuh dan harta benda mereka.

Turut difahamkan pengenalan lorong basikal dan ruang parkir di hab pengangkutan awam strategik akan membolehkan bandar mengurangkan masalah trafik di samping mempromosikan penggunaan pengangkutan awam.

Mengenai kempen tersebut, ia disertai lebih daripada 550 pengayuh basikal dengan objektif utama mendidik pengguna jalan mengenai etika keselamatan di atas jalan.

Pada kempen yang bermula pada jam 8 pagi itu semalam, peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 10 km VIP Ride, 30 km Fun Ride dan 60km Joy Ride.

Sebagai tambahan kepada kempen itu, cabutan hadiah bertuah turut menanti peserta selain jualan jersi keselamatan ‘Share The Road’ edisi terhad.

sumber : theborneopost.com