MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Kuching Selatan

Berapa ramai rakyat Sarawak sudah makan rumput? - Annuar

KUCHING - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini gamat apabila Dr. Annuar Rapaee (BN-Nangka) menempelak parti pembangkang yang menggunakan kempen kotor dengan mendakwa rakyat akan makan rumput jika Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya negeri tahun lalu.

Ia gara-gara satu papan tanda kempen dalam bahasa Mandarin parti pembangkang yang berbunyi 'Jika Ketua Menteri dan Barisan Nasional tidak dijatuhkan, rakyat akan makan rumput'.

Namun katanya, parti pembangkang hanya melakukan pembohongan kerana keadaan itu tidak berlaku sehingga hari ini.

"Kamu temberang rakyat dengan memberitahu jika BN tidak dijatuhkan rakyat terpaksa makan rumput.

"Jadi sekarang, sudah berapa ramai rakyat di negeri ini yang sudah makan rumput," tempelaknya sewaktu menyokong usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sarawak di sini hari ini.

Perkara itu menyebabkan beberapa wakil DAP cuba bangun untuk menjawab namun diminta diam oleh Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa).

Dalam pada itu, Annuar berkata, prestasi BN di Sarawak gagal ditandingi oleh pembangkang dari aspek kepimpinan, kualiti dan idea yang inovatif.

Tegasnya, sebab itulah sehingga hari ini pembangkang masih gagal mengemukakan kabinet bayangan yang merupakan komponen penting dalam sistem dua parti.

"Di peringkat negeri, pembangkang cuba menubuhkan kabinet bayangan tetapi pada masa sama 'menjatuhkan' salah satu sekutunya.

"Adakah mereka serius dengan sistem dua parti atau mereka mahu mewujudkan sistem dua parti yang cauvinis," katanya.

Annuar turut menempelak pembangkang supaya menghentikan taktik mereka yang selalu memberitahu rakyat supaya tidak terhutang budi apabila kerajaan melaksanakan projek pembangunan dengan alasan ia menggunakan duit pembayar cukai.

"Adakah kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang melaksanakan projek pembangunan menggunakan duit poket mereka sendiri," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia