MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Kuching Selatan

Pendekatan ‘cucuk sana, cucuk sini’

 

KUCHING: Laporan portal berita yang mengatakan wujud usaha untuk menjatuhkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud oleh pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan parti komponen yang lain lebih kepada gimik politik.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana perkara itu mustahil berlaku kerana setiap ahli PBB melakukan sesuatu perkara dengan berpaksikan dan bergerak bersama dengan Presiden parti.

Malah, menurutnya, PBB merupakan sebuah parti yang kuat dan paling bersatu padu, tidak mungkin ada dalam kalangan ahli parti yang mudah terpengaruh dengan khabar angin tidak berasas di Internet.

“Kita (PBB) merupakan parti yang kuat dan paling bersatu padu.

Apabila saya beritahu bersatu padu maka kita akan melakukan sesuatu tanpa membelakangi presiden.

“Perkara ini adalah gimik politik, ada pihak cuba memecah belah kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang Bantuan Khas Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tabuan semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, isu tersebut tidak akan menakut-nakutkan ahli parti.

“Tidak mungkin perkara ini dapat menakutkan ahli parti yang selama ini sudah lama bersama dan mengamalkan semangat bersatu padu serta tolong-menolong antara satu sama lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, laporan itu mungkin boleh mengaitkan nama individu dalam usaha menjatuhkan Ketua Menteri, namun setiap ahli parti tahu ‘siapa pemimpin dan siapa lebih berpengalaman.

“Ini merupakan pendekatan cucuk sana dan cucuk sini demi untuk melihat PBB berpecah.

“Semua ahli PBB tidak percaya perkara ini dan tidak perlu untuk kita membalas balik laporan ini kerana ia tidak sahih,” jelasnya.

Laporan tersebut menyenaraikan 30 nama orang kuat BN akan menyertai plot pemimpin atasan PBB untuk menjatuhkan Ketua Menteri semasa Konvensyen PBB akan datang.

Sumber : theborneopost