MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Kuching Utara

Rumah baharu untuk setinggan

KUCHING 17 Jan. - Kerajaan negeri merancang untuk memindahkan sekurang-kurangnya 831 keluarga setinggan di seluruh negeri ke kawasan perumahan kekal sepanjang tahun ini.

Menteri Perumahan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, berdasarkan kejayaan menurunkan penempatan setinggan sebanyak 10 peratus tahun lalu, pihaknya yakin mampu merealisasikan rancangan itu selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Selain itu katanya, masalah setinggan di seluruh negeri juga dijangka mampu dikurangkan sebanyak 13 peratus menjelang Ogos depan.

"Tahun lalu kami berjaya menempatkan 300 keluarga ke kawasan baharu yang dibangunkan.

"Jadi tahun ini, kami menyasarkan untuk memindahkan 831 keluarga ke penempatan kekal," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Penyelesaian Setinggan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pemindahan keluarga setinggan itu melibatkan beberapa program di bawah kendalian kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Antaranya adalah Skim Sewa Beli Rumah Pangsa, Program Pembesaran Kampung, Rumah Mampu Milik (RMM) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

"Setakat ini, kita telah membina 2,000 unit rumah pangsa untuk menempatkan keluarga setinggan iaitu 1,000 unit di Sibu dan 1,000 unit di Bintulu.

"Selain itu, kita memerlukan kira-kira 15,000 hingga 20,000 unit RMM jika ingin menampung keperluan semua setinggan di seluruh negeri yang kini mencecah 8,700 orang," katanya.  -   Sumber utusan malaysia.