MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Miri

Keunikan barang antik Lucas

MIRI - Minat Lucas Johny terhadap barang antik berputik pada usia yang amat muda iaitu lapan tahun.

Bermula dengan menyimpan barangan lama yang menjadi kesayangan mendiang ayahnya, Lucas yang kini berusia 63 tahun tidak pernah menyangka minat itu berkembang menjadi satu obsesi yang mendalam.

Kepada Utusan Malaysia beliau berkongsi kisah ‘percintaan’ dengan barang antik yang bercambah selepas ayahanda kesayangannya meninggal dunia.

Kesempitan hidup selepas hilang tempat bergantung menyebabkan ibunya terpaksa menjual sedikit demi sedikit koleksi barangan antik yang pernah menjadi kebanggaan keluarga.

“Ibu berusaha keras untuk menyara kami yang masih kecil dengan membuat dan menjual kuih, bagaimanapun ia tidak mencukupi menyebabkan dia terpaksa menjual koleksi mendiang ayah dan bagi saya ia adalah saat yang menyedihkan.

“Namun ada koleksi ayah yang saya simpan kerana terasa sayang jika dijual begitu sahaja dan dari situlah minat saya untuk menyimpan barang antik bermula," katanya yang ditemui pada Pameran Koleksi Antik Naga Air di Pustaka Miri baru-baru ini.

Bertepatan dengan tema Koleksi Naga Air, pameran Lucas kali ini menampilkan kelainan dan keunikan tersendiri, khususnya bagi mereka yang mahu menghayati barangan antik seperti tembikar, pinggan dan gong yang mempunyai ukiran naga.

Ukiran naga mempunyai nilai tersendiri dan bagi masyarakat Cina, ia dipercayai makhluk yang selalu membawa cahaya kehidupan selain menjadi perlambangan ‘chi’ yang kuat dan sempurna.

Menghayati koleksi barangan antik termasuk tembikar dari China, pinggan dari Dinasti Ming dan Dinasti Ching yang dipamerkan, penulis cukup kagum dengan minat yang ditunjukkan oleh Lucas.

“Pinggan itu mempunyai keunikan tersendiri kerana ia dianggarkan berusia 300 tahun.

“Koleksi ini kebanyakannya saya beli di Singapura dan ada juga di Miri, pada masa itu harganya jauh lebih murah," katanya yang petah memberikan penerangan.

Selain pinggan porselin, Lucas turut mengumpul ratusan barang antik yang unik antaranya botol susu kaca berbentuk pisang, barangan tembaga, sudu, kendi, barangan perak dan bekas menyimpan barangan kemas serta duit syiling King George dan Queen Elizabeth, Rajah James Brooke dan Vyner Brooke.

Antara koleksi paling berharga milik beliau ialah sudu perak dari Eropah, barang kemas dan kerongsang, gong, porselin berbentuk bulan sabit, kendi air dari Iran, seterika dan topi tentera Portugis dari abad Ke-14 yang dibeli di sebuah kedai antik di Singapura pada 1969.

“Topi tembaga itu ditemui oleh pekerja kapal di Singapura dan dijual kepada kedai barang antik.

“Saya bertuah kerana pada masa itu ia dijual dengan harga kira-kira RM86 sahaja," katanya.

Selain minat mengumpul barang antik, Lucas juga gemar merantau antaranya ke benua Eropah dan Afrika dan sepanjang berada di sana, beliau meneruskan hobinya itu.

Antara yang dikumpul sewaktu berada di sana ialah tali leher, baju, rekod piring hitam lama selain botol unik berbentuk loceng, duit syiling, setem dan batu.

“Saya juga banyak membeli barang antik di Brunei misalnya barangan tembaga kerana di sana harganya jauh lebih murah.

“Jika ke Semenanjung, saya gemar membeli barangan antik di Pulau Pinang dan Melaka," katanya.

Menceritakan bagaimana beliau selalu ‘bernasib baik’ mendapat pelbagai barangan antik yang unik dengan harga yang berpatutan, Lucas berkata, ia kerana beliau selalu mengembara ke merata tempat.

“Selain kedai antik, saya banyak membeli barangan antik di jualan garaj kerana di situlah lubuk barangan antik dengan pelbagai pilihan selain harga yang cukup murah.

“Ada penjual yang tidak tahu menilai barangan tersebut dan menjualnya di tempat terbuka seperti kaki lima.

“Bagi saya, ia adalah peluang keemasan bagi peminat barangan antik yang tegar," katanya sambil tersenyum.

Katanya, setiap barangan antik yang dibeli mempunyai keunikan dan dan kisah di sebaliknya.

Pernah bekerja sebagai pembantu di Rumah Rehat Kerajaan, Lucas mengakui cukup bertuah kerana ramai majikan dan rakan-rakan warga asing memberi cenderamata dan pinggan mangkuk kepadanya.

Minat beliau itu turut disokong oleh rakan-rakannya yang menghadiahkan barangan antik untuk disimpan sebagai koleksi.

Menurut Lucas, beliau tidak hanya mengumpul barangan antik dan sebaliknya turut aktif mengadakan pameran untuk berkongsi pengetahuan bersama masyarakat khususnya generasi muda.

Beliau yakin koleksi seumpama itu membantu meningkatkan pengetahuan umum tentang sejarah lampau dan kaitannya dengan kehidupan manusia pada masa ini.

“Ramai pengunjung pameran yang saya sertai terdiri daripada golongan remaja dan pelajar.

“Mereka menunjukkan minat yang mendalam dan saya cuba sedaya upaya memberi penerangan kepada mereka.

“Ada juga pengunjung yang berminat ingin membeli, namun saya tidak terfikir untuk menjual koleksi tersebut kerana ia adalah milik peribadi dan mempunyai kenangan tersendiri," jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia