MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Sibu

Mangsa kebakaran rumah panjang mohon bantuan

SIBU: Penduduk Rumah Nyantau Sandah yang terletak di Batu 33, Jalan Sibu-Bintulu seolah-olah tidak dipedulikan setelah rumah panjang mereka musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran pada 2 Oktober lalu.

Menurut Timbalan Tuai Rumahnya Danau Bujo para penduduknya kini amat mengharapkan belas kasihan daripada orang ramai untuk membantu mereka kerana menghadapi kesulitan ketika ini.

“Pada mulanya ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan, gereja, parti politik, individu, wakil rakyat menghulurkan derma kepada kami namun sekarang kami langsung tidak dipedulikan.

“Justeru kami terpaksa meminta bantuan seolah-olah ‘mengemis’ di pekan Sela-ngau, Stapang dan di Pasar Sentral Sibu untuk meminta derma daripada orang ramai serta mengharapkan belas kasihan masyarakat.

“Segala bekalan makanan yang didermakan sebelum ini sudah habis dan kami amat memerlukan wang untuk membeli barang keperluan seperti makanan, susu untuk bayi, pakaian dan sebagainya.

“Segala duit kami sudah musnah dan kami tidak berdaya lagi untuk meminta bantuan daripada siapa dan terpaksa mengutip derma daripada orang ramai.

“Apalah nasib kami di sini, wakil rakyat yang ada hanya menderma jumlah wang yang tidak cukup untuk kami serumah,” ujarnya dengan nada sedih ketika ditemui di sini petang semalam.

Turut menemani beliau ialah anak kepada Nyantau, David Nyantau dan Rasin Nyantau.

Menurutnya, penduduk rumah panjangnya kini tinggal di pondok (dampa) yang dibina di kawasan sekitar tapak rumah panjang yang hangus itu.

“Bila waktu makan, kami semua makan bersama. Se-olah-olah seperti anjing makan berkongsi pinggan kerana tidak cukup peralatan. Dapur untuk memasak pun tidak cukup. Penduduk kami kira-kira 100 orang dengan 15 pintu kesemuanya.

“Lama-kelamaan makanan yang diderma kini sudah habis dan kami terpaksa me-ngumpul duit sendiri membeli makanan. Mujurlah kami ada pakaian untuk dipakai hasil derma beberapa NGO dan Jabatan Kebajikan,” tegasnya.

Danau turut merayu dan memohon belas kasihan kepada orang ramai untuk membantu mereka dalam keadaan kini sudah masuk kira-kira tiga minggu selepas kejadian kerana keadaan sungguh menyulitkan.

“Kami kini tidak tahu pergi ke haluan mana lagi untuk memohon bantuan. Wakil rakyat di kawasan kami ini juga tidak membantu kami mencari beberapa alternatif lain untuk mendirikan rumah baharu dan kami seolah-olah tidak dihiraukannya. Bukannya jauh rumah wakil rakyat di sini dari kami cuma 15 minit perjalanan sahaja.

“Itulah yang sangat menyedihkan kami di sini. Sumbangan yang diberikan pun tidak cukup dengan bilangan kami di sini. Penduduk kami di sini bukannya orang kaya dan hanya sebagai buruh kebanyakan serta tidak mampu menghadapi kesulitan ini,” jelasnya.

Beliau turut memohon ke-pada pihak berkenaan agar tampil menangani masalah mereka demi anak-anak kecil serta bayi yang amat memerlukan perlindungan yang sempurna dan terjamin.

Dalam kejadian pada 2 Oktober lalu, rumah panjang itu ranap dijilat api yang me-nyebabkan penduduknya hanya tinggal sehelai sepinggang.

Sesiapa yang berminat untuk menghulurkan derma kepada rumah panjang tersebut diminta menghubungi Danau di talian 019-8666112 atau Rasin (013-8262430).


Sumber:BorneoPost