MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Merazan juara Pertandingan Bintang P. Ramlee

KUCHING: Kejayaan muncul juara Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat Negeri Sarawak 2012 didedikasikan khas buat isteri sempena hari jadi ke-25 yang kebetulan jatuh pada hari pertandingan, kata Merazan Mechang.

Merazan yang muncul juara turut mendapat bantuan isterinya, Masitah Mohamad Airani menerusi lagu duet bertajuk ‘Bertemasya’ selepas menyanyikan lagu solo ‘Derita’.

Menurutnya, kemenangan tersebut memang tidak dijangka memandangkan ini merupakan kali pertama menyertai pertandingan berprestij itu.

“Saya memang gembira dengan kemenangan ini… tidak percaya saya dengan kemenangan ini kerana peserta lain lebih hebat dan berpengalaman,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan.

Beliau yang merupakan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu berkata, persiapan rapi dilakukan sebelum pertandingan memandangkan isterinya bertugas di Jabatan Perangkaan Sibu.

“Kami berdua hanya berlatih hujung minggu kerana faktor kerja,” ujarnya sambil menambah pernah muncul johan Pertandingan Bintang Klasik Peringkat Negeri pada 2010.

Merazan yang mewakili Zon Bintulu, Miri dan Limbang menjelaskan, latihan berterusan akan dijalankan sebagai persiapan menghadapi Pertandingan Bintang P.Ramlee Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung di Stadium Perpaduan pada 1 Disember depan.

Dengan kemenangan itu, Merazan dan isterinya membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, piala dan sijil penyertaan.

Tempat kedua pula disandang Abu Zahid Ibrahim dan Nazirah Ta’akup dengan lagu ‘Ku Rindu Padamu’ (solo) dan ‘Ilham Tiba’ (duet) manakala tempat ketiga dimenangi pasangan Ahmad Ayub dan Asparina Abdul Sani menerusi lagu ‘Di Pinggiran’ (solo) dan ‘Masa Yang Bahagia’ (duet).

Pasangan Zainal Bojet dan Nur Hijrah Yahya tidak pulang dengan tangan kosong apabila diumumkan sebagai pemenang persembahan terbaik.

Penyanyi terkenal Naseer Wahap dan Azizi Akademi Fantasia turut hadir dengan mendendangkan beberapa lagu ciptaan Tan Sri P. Ramlee.

Pertandingan tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah serta menteri kabinet negeri yang lain.


Sumber:BorneoPost