MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Peserta berkorban untuk berjaya di Soulstar

KUCHING - Pelbagai persiapan rapi dilakukan oleh para peserta Soulstar 2012 bagi memastikan cabaran dan harapan yang disandarkan pada mereka setiap minggu berjaya dipersembahkan dengan sempurna.

Seorang peserta, Asmira Arni, 23, atau Mira berkata, ini merupakan kali pertama dia duduk berjauhan dengan keluarga dalam tempoh yang lama iaitu kira-kira dua bulan.

Bagi memastikan dia dapat mengikuti kelas yang diadakan oleh tenaga pengajar setiap hari, peserta yang berasal dari Sebuyau, 160 kilometer dari sini, tinggal di kediaman yang disediakan oleh pihak Soulstar iaitu di Kampung Budaya Sarawak.

"Perkara pertama yang selalu bermain di fikiran saya sepanjang berada di program ini adalah ahli keluarga.

"Mereka banyak menyokong saya untuk menyertai program ini dan merupakan sumber inspirasi serta kekuatan selama ini," ujar anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Pada konsert keempat dengan tema berparti Sabtu ini, Mira akan membawakan lagu Diam Diam Jatuh Cinta yang dipopularkan oleh penyanyi Ramlah Ram.

Mengulas mengenai persediaan pada konsert akan datang, dia berkata, persiapan secukupnya telah dibuat termasuk memperkemaskan lagi vokal dan persembahan pentas supaya dapat menarik hati penonton serta juri.

"Sepanjang tempoh berada di Soulstar juga, saya terpaksa melupakan sementara minuman kegemaran, milo ais kerana hendak menjaga suara," ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Juara Soulstar 2012 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan hadiah-hadiah lain.

Pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000.

Program Soulstar 2012 dianjurkan oleh Kampung Budaya Sarawak dan E-One Dasri Talent Management manakala akhbar Kosmo! menjadi rakan media.

Bagi urusan pembelian tiket, orang ramai boleh menghubungi talian 082-846 108.

Sumber:Kosmo