MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Pesta Lawas dijangka tarik 150,000 pengunjung

KUCHING: Pesta Lawas yang diadakan 25 hingga 27 Julai akan datang dijangka mampu menarik kehadiran 150,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia berikutan pelbagai pembaharuan dilaksanakan untuk pesta berkenaan.

Menurutnya, pada tahun lepas sekitar 130,000 pengunjung hadir untuk menyaksikan dan menyertai pelbagai aktiviti.

“Pada kali ini Pesta Lawas diadakan bersama RTM bagi melaksanakan acara penting seperti Jelajah Pemasaran Ekspo dan Gegar Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di TV1 di sini, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam memberitahu, acara kemuncak pesta masih lagi tertumpu kepada Regata Lawas memandangkan pada kali ini lumba kerbau tidak diadakan.

“Kita tidak dapat mengadakan lumba kerbau kerana program terlalu padat namun acara yang tidak diadakan semasa Pesta Lawas mungkin dilaksanakan pada masa lain.

“Saya sudah mengarahkan Pejabat Daerah Lawas untuk menganjurkan aktiviti yang tidak tersenarai semasa Pesta Lawas pada setiap bulan,” ujarnya.

Menurutnya, pesta tersebut diadakan untuk mempromosi Lawas yang merupakan daerah yang mempunyai banyak kelainan seperti pertuturan.

“Kita di Lawas makan ‘dadah’ namun tidak mengkhayalkan kerana ia merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan aur-aur atau tamban kemudiannya disalai untuk dijadikan tahai,” jelasnya.

Malah katanya, Lawas juga mempunyai banyak destinasi menarik seperti kolam air panas, Gunung Murut dan kawasan pergunungan yang bersesuaian dengan aktiviti pengembaraan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bakal merasmikan Pesta Lawas pada 26 Mei manakala Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin menyempurnakan upacara penutupan pada keesokan harinya.

Antara artis terkenal yang bakal membuat persembahan termasuk Hafiz dan Adira AF8, Jacklyn Victor, Jimmy Palikat, Saiful Apek dan Mas Idayu.

Sumber : theborneopost.com