MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

183 sekolah di Sarawak dikategori daif

Sebanyak 183 sekolah di Sarawak dikategorikan sebagai daif dan perlu diberi keutamaan sama ada dibaiki atau dibuat baru, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya terdapat tiga kategori sekolah iaitu yang pertama masih dalam keadaan sempurna, diikuti keadaan sederhana dan yang ketiga daif dan perlu diberi keutamaan.

"Bagi 2017 sebagai contoh, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bersama Ketua Menteri Sarawak dalam perbincangan mereka telah memasukkan bagaimana untuk membantu mengikut tahun, dan akhirnya boleh dibaiki ataupun dibuat baru (sekolah daif) itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Guru Aktif 1Malaysia (GA1M) 'Guru Pembina Negara Bangsa' peringkat negeri di Dewan Sri Pakma, Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu hari ini.

Mahdzir berkata ketika ini 69 sekolah rendah dan menengah baharu sedang dalam pembinaan di seluruh negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata beliau sentiasa mendapat maklumat terperinci berkaitan pembangunan serta peruntukan yang perlu kerana Sarawak masih ketinggalan berbanding negeri lain.

Sementara itu, Mahdzir berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia masih meneruskan usaha melaksanakan dasar 90:10 bagi membolehkan anak tempatan Sarawak bertugas di negeri ini.

Katanya tidak timbul masalah mengambil serta membawa anak tempatan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) namun setiap pengambilan masih perlu mengikut tapisan mengikut subjek dan kelayakan.

"Kita nak calon dan sudah tentu perlu penapisan, tidak boleh bawa semua sekali. Kita kena tengok subjek dan kelayakan kalau tiada sijil khusus dalam sesuatu bidang kita bawa mereka masuk ke Institut Pendidikan Guru Malaysia," katanya.

Mahdzir bagaimanapun berkata ketika ini masih terdapat bidang yang kekurangan permohonan seperti bidang agama.

- bernama