MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

3 rentung rumah dibakar

Kuching: “Ketika menonton televisyen, saya terkejut seorang lelaki memegang sebilah parang panjang dan menghayunkan senjata itu ke arah kami.

“Lelaki itu hanya diam namun tangannya menghayunkan parang menetak abang ipar, datuk dan nenek saya sebelum membakar rumah,” kata Abdul Rahman Abdullah, 16, seorang daripada keluarga mangsa yang diserang seorang lelaki dipercayai kurang siuman berusia 50-an, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, tiga sekeluarga rentung dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Tumu, Matang, di sini, kerana tidak sempat menyelamatkan diri dipercayai parah selepas ditetak manakala seorang lagi parah ditetak suspek.

Mangsa maut dikenali sebagai Mohd Joe Abdullah, 36, dan pasangan suami isteri warga emas, Daud Abdullah, 64, dan Noraini Abdullah, 62.

Mangsa yang parah, Hasan Abdullah, 36, cedera di leher dan pinggang akibat ditetak.

Mangsa dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini.

Rumah berkenaan dihuni keluarga mualaf yang terdiri daripada 10 orang sejak 15 tahun lalu.

Difahamkan, suspek yang menyerang keluarga berkenaan dilihat penduduk kampung berlegar-legar di kawasan itu sejak tiga hari lalu membawa parang.

Lelaki itu dikatakan menetap di sebuah rumah usang dalam hutan di kawasan itu berdekatan kebun getah.

Di lokasi kejadian, keadaan begitu menyayat hati apabila isteri Mohd Joe, Sofia Abdullah, 17, meraung kesedihan sehingga pengsan selain beberapa anggota keluarganya gagal mengawal kesedihan.

Abdul Rahman berkata, selepas membakar rumah, suspek yang tinggal di hutan berhampiran hanya berdiri sambil memegang parang berdekatan kediaman mereka sehingga menyebabkan ahli keluarga lain yang terselamat takut untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap kerana bimbang dicederakan.

“Ketika menyerang keluarga saya, datuk (Daud) tidak dapat bergerak sebab sudah uzur. Tiada apa dapat dilakukan melainkan kami yang terselamat keluar dari rumah menyelamatkan diri kerana takut diserang lelaki itu.

“Saya hanya mampu melihat rumah yang didiami sejak 15 tahun lalu musnah bersama ahli keluarga yang lain,” katanya sambil menahan sebak ketika menceritakan semula kejadian kepada wartawan Harian Metro.

Abdul Rahman yang juga anak kepada Hasan berkata, selepas suspek melihat api sudah membakar hampir keseluruhan rumah, dia terus berjalan sambil membawa parang menuju ke hutan berhampiran.

“Suspek ada dilihat beberapa hari lalu di kawasan kampung ini tetapi tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian sehingga meragut nyawa ahli keluarga saya.

“Kejadian ini benar-benar mengejutkan kami sekeluarga dan saya berharap pembunuh itu dapat ditangkap secepat mungkin kerana dia boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain,” katanya.

Polis menggerakkan pasukan untuk memburu suspek membabitkan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, termasuk membawa Unit Pengesan (K9) untuk menjalankan operasi berkenaan.

Bagaimanapun, polis hanya mengambil tempoh empat jam apabila berjaya menahan suspek kira-kira jam 7.30 malam di kawasan hutan berhampiran kampung itu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek yang bersenjata parang itu pada mulanya enggan menyerah diri.

Menurutnya, selepas beberapa minit dipujuk Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan yang turut serta dalam operasi itu, suspek akhirnya akur dan menyerah diri.

“Suspek dipercayai warga asing, namun status tahap kesihatan mentalnya masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source  Mymetro