MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Ba'Kelalan terkenal kerana epal

BA'KELALAN - Pada 1974, Andrew Balang Paran yang kini berusia 75 tahun melakukan perkara yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh masyarakat tanah tinggi ini mahupun negeri ini secara amnya.

Bertitik tolak daripada keinginan untuk mencuba, Balang yang berasal dari Kampung Buduk Nur di sini membawa benih epal jenis Mana Lagi dari Batu Malang, Indonesia untuk ditanam.

Beberapa pokok epal yang ditanamnya hidup subur kerana kesesuaian cuaca sejuk di sini, namun ia tidak mengeluarkan buah seperti diharapkan Balang.

Perasaannya cukup kecewa, lantaran berputus asa dengan dugaan itu, pokok-pokok epal itu diserahkan kepada abangnya, Paran Tagal pada 1977 untuk diusahakan.

Bermula dari saat itu, Tagal tidak menoleh ke belakang dan dengan pelbagai usaha dan pengorbanan, penanaman epal berkenaan mula membuahkan hasil.

Ia diperluaskan di kawasan ladang seluas kira-kira 10 hektar dengan pelbagai jenis epal lain seperti Rome Beauty, Granny Smith dan Anna.

Kejayaan itu disumbang oleh bantuan serta latihan daripada Jabatan Pertanian selain kepakaran pekerja dari Indonesia yang sudah lama terlibat dalam sektor penanaman epal di republik itu.

Kepuasan yang dikecapi Tagal tidak dapat diukur dengan wang ringgit kerana produk yang dipeloporinya menjadi lebih terkenal daripada tanaman lain di sini seperti beras Adan dan beras Bario.

Kini Tagal berusia 76 tahun mampu tersenyum lebar apabila tanaman epal diusahakannya menjadikan kawasan tanah tinggi ini cukup terkenal dalam kalangan pelancong.

Setiap tahun, ribuan pelancong berkunjung ke sini khususnya pada waktu puncak bermula Jun hingga Disember sewaktu Festival Menuai Epal berlangsung.

Menurut Tagal, epal yang ditanam di sini bukan hanya mewakili kejayaan peribadinya, malah ia menjadi lambang kerjasama penduduk setempat yang majoritinya berketurunan Lun Bawang.

Katanya, epal berjaya mengangkat status ekonomi penduduk setempat dan perkara itu membanggakannya.

"Pada masa ini sebanyak 1.5 tan epal dapat dituai daripada 3,000 pokok pada setiap musim. Namun, jumlah itu hanya cukup untuk pasaran di Miri, Limbang, Lawas, Kota Kinabalu dan ada juga sebilangan kecilnya ke Brunei," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Menyedari peranan serta potensi epal untuk menarik lebih ramai pelawat dan pelancong asing ke Ba'Kelalan, Kementerian Pelancongan membekalkan dua batang pokok epal kepada setiap 1,000 penduduk di 10 kampung sekitar kawasan ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, usaha itu bertujuan meluaskan kawasan penanaman epal kerana jumlah yang ada pada masa ini dilihat masih kurang daya penariknya.

"Hasil epal yang ditanam di Ba'Kelalan sudah terbukti mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, oleh itu kita mahu penanamannya diperluaskan bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Sebab itu kami mengagihkan setiap penduduk dengan dua pokok epal sebagai permulaan untuk ditanam di halaman rumah masing-masing dan agihan dimulakan awal tahun ini," katanya.

Ditemui selepas merasmikan program Homestay dan Menuai Epal baru-baru ini, Sum berharap mendapat kerjasama daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha memperluaskan tanaman epal di kawasan Ba'kelalan.

"Kami harap dengan bantuan pelbagai pihak, Ba'Kelalan mampu mengeluarkan epal dalam kuantiti yang lebih banyak untuk dikomersialkan," katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong serta menaik taraf status ekonomi penduduk, tarikannya tidak harus disandarkan kepada penanaman epal sahaja.

Sumber : Utusan Malaysia