MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Kerajaan negeri kumpul data ibu tunggal

SIBU 29 Jan. - Kerajaan negeri menerusi Biro Wanita Sarawak akan melaksanakan proses mendaftar serta mengumpul data serta profil ibu-ibu tunggal di seluruh Sarawak bagi mewujudkan Pangkalan Data Profil Ibu Tunggal Sarawak.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, maklumat yang diperoleh akan membolehkan kementeriannya mengetahui jumlah ibu tunggal di negeri ini, taburan, umur dan sebab mereka menjadi ibu tunggal.

"Maklumat ini dapat membantu kita kerana kefahaman terhadap keadaan ibu tunggal di Sarawak membolehkan kementerian membuat perancangan serta program-program sokongan yang sesuai dengan situasi.

"Selain itu, kita juga boleh melaksanakan program pencegahan kerana kita tidak mahu bilangan ibu tunggal terus bertambah dan ia bukan satu indikator yang baik untuk kesejahteraan sosial," katanya pada Majlis Sambutan Hari Krismas 2011, Sambutan Tahun Baru 2012 dan Sambutan Tahun Baru Cina, di sini semalam.

Pada majlis itu, Fatimah turut menyempurnakan majlis Penyampaian Insentif UPSR, PMR dan SPM anjuran Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Sibu di Rumah Michael Ancho, Bawang Assan.

Bagi 2011, jumlah ibu tunggal yang berdaftar di seluruh Sarawak adalah seramai 10,574 orang.

Daripada jumlah itu, sejumlah 8,124 berdaftar dengan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) manakala Persatuan Ibu Tunggal Wilayah Tengah Sarawak sebanyak 2,000 orang, Single Mothers Assistance Group Miri (250 orang) dan Kelab Carnation Bahagian Kuching dan Samarahan (200 orang).

Fatimah memberitahu, usaha mengumpul data dan profil ibu tunggal bermula pada tahun ini dan borang pendaftaran profil boleh diisi secara atas talian melalui Internet atau secara manual.

Justeru, beliau memohon kerjasama semua persatuan dan pertubuhan ibu tunggal, ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menyampaikan maklumat kepada ibu tunggal mengenai usaha kerajaan itu.

"Ini kerana banyak isu yang dihadapi oleh ibu tunggal yang perlu dilihat dan diperjuangkan bersama, termasuk dari segi perundangan yang membabitkan soal perceraian," ujarnya.  -   Sumber utusan malaysia.