MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Yang Dipertua Negeri Sarawak beri penghormatan terakhir kepada mendiang Kanang Langkau

KUCHING - Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng hari ini hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Pegawai Waran 1 (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau di Dewan Suarah, Kuching.

Yang Dipertua Negeri yang tiba bersama isteri Toh Puan Norkiah meluangkan masa kira-kira 15 minit dan turut menandatangani buku ucapan takziah atas kematian mendiang.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Sebelum itu ketibaan Yang Dipertua Negeri disambut oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Jabu turut mengetuai anggota Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Antara kenamaan yang hadir ialah Panglima Markas 1 Divisyen Mej Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brig Jen Datuk Redzuan Baharuddin dan Komander Briged Kesembilan Infantri Brig Jen Datuk Stephen Mundaw.

Selain itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad bersama anggota turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu mayat mendiang Kanang Langkau diberi penghormatan tentera di Kem Penrissen, sebelum dibawa ke Dewan Suarah, Kuching.

Pada upacara itu, seramai sembilan Pegawai Waran 1 dari pasukan 1 Divisyen dan 3 Briged diketuai oleh Pegawai Waran I, Michael Awi, mengiringi keranda mendiang dibawa keluar dari Dewan Bukavu di kem itu.

Mayat mendiang ditempatkan di dewan berkenaan sejak semalam selepas dibawa dari rumah mayat, Hospital Umum Sarawak.

Anak Kanang, Kpl Linggi Kanang yang membawa gambar mendiang mengetuai pergerakan itu sambil diiringi isteri Datin Brawang Chungga dan anggota keluarga.

Turut mengiringi pergerakan itu ialah Panglima Markas 1 Divisyen Mej Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brig Jen Datuk Redzuan Baharuddin dan Komander Briged Kesembilan Infantri Brig Jen Datuk Stephen Mundaw.

Mayat mendiang kemudiaannya dibawa menaiki kenderaan sebelum melalui 'street lading' yang dilakukan oleh 800 anggota pelbagai pangkat daripada pelbagai divisyen.

Mayat mendiang tiba di Dewan Suarah, Kuching kira-kira pukul 8.30 pagi.

Sumber:Sinar harian