MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

21,000 pegawai, anggota keselamatan undi awal hari ini

Lebih 21,000 pegawai dan anggota pasukan keselamatan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal untuk Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, seramai 9,909 orang merupakan anggota polis yang bakal bertugas semasa hari pengundian pada 7 Mei ini.

“Oleh kerana mereka akan bertugas semasa hari pengundian dan ada yang bekerja dua atau tiga hari sebelum itu, mereka boleh menunaikan hak sebagai pengundi esok,” katanya dalam sidang akhbar semasa menghadiri Majlis Mesra Bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Sarawak di Batu Kawa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman; Komander Briged Sarawak, Datuk Isa Munir dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa, Senator Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, situasi pilihan raya di Sarawak pada kali ini memperlihatkan perbezaan berbanding sebelum ini apabila sokongan terhadap Ke­tua Menteri, Tan Sri Adenan Satem meningkat termasuk di kawasan bandar yang dikuasai oleh pembangkang.

“Tan Sri Adenan membawa faktor wow kepada pengundi terutama melalui 53 transformasi yang diperke­nalkannya sehinggakan per­sepsi dan perspektif kepada BN Sarawak turut berubah,” ujarnya.

Sementara itu, Khalid menafikan dakwaan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa anggota polis berasal dari Semenanjung tetapi mendaftar sebagai pengundi sah di Sarawak telah dihalang mengundi pada PRN-11 kerana mereka bukan orang tempatan tetapi mengundi untuk kerajaan negeri.

Tegasnya, PDRM tidak pernah menghalang pegawai dan anggota­nya yang berasal dari Semenanjung untuk mengundi ke Sarawak asalkan mereka mendaftar secara sah di mana-mana pusat pengundian di negeri ini.

Katanya, memang ada beberapa anggota PDRM yang pernah bertugas di Sarawak dan mendaftar sebagai pengundi di negeri ini telah bertukar ke Semenanjung.

“Kita telah memohon agar mereka menjalankan undi pos tetapi tidak diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jadi, kita akan benarkan mereka balik mengundi di mana-mana tempat mereka mendaftar di Sarawak.

“Kalau dia mendaftar di mana-mana tempat mengundi di Sarawak dan kita tidak membenarkannya mengundi, itu sudah melanggar hak, mana boleh kita halang mereka mengundi di tempat yang mereka mendaftar secara sah. Dakwaan dibuat oleh DAP itu tidak munasabah, tidak ikut undang-undang dalam Akta Pilihan Raya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, polis menerima sebanyak 74 laporan dan membuka 46 kertas siasatan berhubung kesalahan pilihan raya setakat ini tetapi tidak melibatkan kes serius iaitu cuma berkaitan perbuatan menurunkan poster dan ben­dera jatuh.

 

 

Sumber: Utusan malaysia