MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Proses undi awal berjalan lancar

Proses undi awal membabitkan 24,604 anggota ke­selamatan terdiri dari­pada polis dan tentera terma­suk pasang­an mereka bagi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) berjalan lancar di 79 pusat mengundi awal di seluruh Sarawak hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 15,113 pengundi merupakan anggota tentera bersama pasangan, manakala 9,491 orang lagi dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, proses mengundi bermula pukul 8 pagi ini didapati berjalan lancar, malah dijangka beberapa pusat pengundian yang tidak ramai pengundi dapat ditutup lebih awal iaitu sekitar pukul 2 petang.

“Hasil tinjauan saya di pusat mengundi awal di Kem Penrisen misalnya mendapati, semangat anggota tentera dan pasangan mereka keluar mengundi begitu tinggi kerana sanggup membawa anak-anak kecil bersama.

“Berdasarkan semangat tinggi yang ditunjukkan itu, saya menjangkakan peratus keluar mengundi di kem ini sahaja boleh mencapai 85 hingga 90 peratus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di Dewan Bukavu, Kem Penrissen yang dijadikan pusat mengundi awal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.

Yang turut kelihatan berada di pusat pengundian tersebut ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Noor.

Mohd. Hashim berkata, secara keseluruhannya, SPR menganggarkan peratusan keluar me­ngundi pada hari pengundian awal ini mampu mencapai 70 peratus ke atas sehingga tamatnya proses membuang undi pada pukul 5 petang.

Beliau berkata, semua peti undi awal termasuk yang dibawa dengan helikopter dari pusat me­ngundi di pedalaman akan disimpan dalam lokap di balai polis sebelum dibuka untuk pengiraan pada hari pengundian, 7 Mei ini.

Sementara itu, semakan dengan SPR menunjukkan peratusan keluar mengundi pada hari pe­ngundian awal mencatatkan 54 peratus setakat pukul 1 petang ini.

Menurut Mohd. Hashim, maklumat lengkap tentang proses pengundian awal pada hari ini termasuk tindakan terhadap laporan polis yang diterima setakat ini berhubung kesalahan pilihan raya, akan dimaklumkan dalam sidang akhbar yang akan dibuat nanti.

 

 

Sumber:Utusan malaysia