MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Usah gadai maruah diri

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Sarawak jangan sesekali menggadai maruah diri dengan ‘menjual’ undi kepada pakatan pembangkang sehingga memperjudikan masa depan diri, keluarga dan anak cucu.

Tegas Perdana Menteri, tawaran pembelian satu undi sekadar `RM100 atau RM200’ tidak berbaloi berbanding nikmat pembangunan menyeluruh yang sedang berjalan dan dikecapi oleh hampir 3 juta rakyat negeri ini.

“Orang beli undi, kita jangan jual, orang Iban mesti jaga maruahnya. Orang Iban, orang pahlawan ada semangat, jadi jangan jual maruah kita. Takkan dengan RM100, RM200 diberi, kita sanggup gadai masa depan kita.

“Kita berjuang bukan untuk diri sahaja tapi anak cucu. Cuba kita pejam sejenak mata, tanya siapa boleh menjamin masa depan kita? Jika Barisan Nasional (BN) boleh menjamin masa depan kita, sokonglah BN.

“Jadi tidak payah fikir panjang sangat, rumah ini semua pakai biru. Bukan hanya pakaian biru, hati pun mesti biru (BN), namun jangan pula luar biru, dalamnya lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Jegai anak Jawa di Kampung Purai Undop, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan calon BN-Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf Sekolah Kebangsaan St. Lawrence di Sri Aman dan RM200,000 lagi untuk Rumah Panjang Jegai anak Jawa.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan pengundi agar memilih calon yang dapat membawa pembangunan kepada mereka.

“Kalau kita nak minta tolong daripada siapa? Kena minta tolong daripada orang yang ada kuasa. Jika nak minta duit, minta duit daripada orang yang ada dan kalau nak peruntukan pembangunan mesti minta pada orang berkuasa.

“Beberapa kali saya datang ke Sri Aman, bawa apa? Duit? Bukan, tapi bawa pembangunan. Hospital Sri Aman yang mana ahli Parlimen dan calon bawa saya, hospital lama itu telah diluluskan peruntukan RM220 juta untuk naik taraf, yang sekarang dalam pelaksanaan.

“BN parti memerintah kerajaan Pusat dan dengan izin Tuhan akan juga menjadi parti yang akan terus memimpin di Bumi Kenyalang ini,” katanya.

Mengulas mengenai pembangkang, Perdana Menteri berkata, dahulunya pakatan itu dinamakan Barisan Alternatif, disusuli pakatan rakyat dan sekarang pula pakatan harapan yang tidak membawa ‘harapan’ kerana sudah bergaduh dengan berlawan dalam kerusi-kerusi bertindih yang ditandingi mereka.

“DAP bertanding, PKR bertanding, macam mana nak tubuh kerajaan. Tidak logik kalau nak tubuh kerajaan. Bukan hanya namanya pakatan harapan yang tiada harapan, tapi tiada keikhlasan antara satu sama lain,” ujarnya.

 

Sumber:Utusan malaysia