MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Fius FC juara Futsal KRT Taman Heng Guan/Jutaria

Pasukan Fius FC dan Quartz FC bersama piala kemenangan masing-masing selepas muncul juara dan naib juara Pertandingan Futsal Jemputan KRT Taman Heng Guan/Jutaria di Kuching, kelmarin.

 

KUCHING 27 Mei - Pasukan futsal Fius FC dari Kampung Semerah Padi menjuarai Pertandingan Futsal Jemputan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Heng Guan/Jutaria 2013.

Fius FC muncul juara selepas menewaskan Quartz FC dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan akhir yang diadakan di Padang Futsal, Taman Heng Guan di sini semalam.

Pertandingan futsal anjuran Jiran Muda KRT berkenaan berlangsung selama dua hari dan disertai oleh 10 pasukan jemputan yang terdiri daripada pasukan futsal sekitar kawasan Matang.

Berucap dalam majlis penangguhan kejohanan, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Heng Guan, Zulkiflee Sebli berkata, pertandingan itu dianjurkan bagi mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan belia setempat.

Selain itu, katanya, pertandingan itu juga boleh dijadikan sebagai medan kerjasama dan melatih ahli Jiran Muda mengelolakan pertandingan.

"Mungkin selepas ini, kita akan mengadakan satu lagi kejohanan futsal terbuka yang melibatkan banyak pasukan futsal sekitar Petra Jaya pula.

"Selepas ini jawatankuasa induk KRT akan berbincang bersama Jiran Muda agar kejohanan yang lebih besar dapat diadakan dalam masa yang terdekat," katanya.

Turut hadir dalam majlis penangguhan pertandingan berkenaan ialah Ketua Skim Rondaan Sukarela Taman Heng Guan dan Jutaria, Hasbi Sinidin serta beberapa ahli jawatankuasa tertinggi KRT Taman Heng Guan dan Jutaria.

Hadiah dan sijil kepada pemenang disampaikan oleh Zulkiflee dalam satu majlis ringkas yang diadakan selepas perlawanan berakhir.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Source utusan malaysia.