MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Generasi muda harus aktif aktiviti fizikal

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menggesa rakyat terutama generasi muda agar lebih aktif dalam aktiviti fizikal untuk memastikan jantung sentiasa dalam keadaan yang sihat.

Taib yang juga presiden Yayasan Jantung Sarawak (SHF) berkata, kerajaan telah menyediakan kemudahan taman di merata tempat untuk kegunaan rakyat dan masyarakat secara keseluruhannya.

Malah menurut Taib, setiap kali kerajaan membuka kawasan baharu, ia dilengkapi dengan kemudahan taman untuk memberi ruang kepada rakyat berjalan, bermain dan kekal sihat sepanjang masa.

“Syukur kepada Tuhan kita telah berjaya menyediakan persekitaran yang sihat kepada masyarakat dan semua ahli-ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) menyedari akan perkara ini.

“Atas sebab itu, hari ini seperti yang telah kita lakukan pada setiap tahun, kita mahu diri kita menjadi lebih aktif dan menikmati kehijauan alam sekitar untuk memastikan jantung sentiasa sihat,” kata Taib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Walk-A-Mile’ sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2014 di Taman Kuching, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini semalam.

Sementara itu, pengerusi penganjur Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu dalam ucapan alu-aluannya berkata Hari Jantung Sedunia diperkenalkan pada 2000 untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai penyakit jantung yang merupakan punca kematian pertama global.

Malah menurut Jamilah menjelang 2030, dianggarkan 23 juta penduduk akan mati setahun disebabkan penyakit jantung.

Bimbang akan trend tidak sihat ini, SHF bersama Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) sekali lagi menganjurkan aktiviti sihat ini bagi menyemai kesedaran terhadap bahayanya penyakit jantung di samping mempromosikan gaya hidup sihat.

“Saya amat gembira melihat penyertaan yang amat menggalakkan daripada anda semua pada program hari ini.

“Harus diketahui bahawa penyakit jantung bukan berpunca daripada virus dan hanya sebahagian kecil kes penyakit jantung adalah disebabkan faktor genetik.

“Penyakit jantung adalah berpunca daripada gaya hidup kita dan ia boleh dicegah jika kita mengubah gaya hidup kita dengan pemakanan yang sihat, senaman yang mencukupi serta lebih penting kurangkan tekanan,” ujar Jamilah yang juga isteri kepada Ketua Menteri.

Pada program itu semalam, Taib turut melancarkan Buku Aktiviti Fizikal Untuk Kanak-Kanak dan seterusnya menyampaikan salinan buku kepada wakil daripada 13 sekolah rendah dari sekitar bandar raya ini.

Antaranya, SJK Chung Hua No.2, No.5 dan No.6, SK Tabuan Hilir, SK Tan Sri Datuk Haji Mohamad, SK Matang, SK RPR Batu Kawa, SK Jalan Arang, SJK Sungai Apong, SK Tabuan Ulu, SK Tabuan Jaya, SJK Bintawa dan SJK Chung Hua Pending.

Turut hadir, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan dan Pemegang Amanah SHF Senator Datuk Dr Sim Kui Hian.


Sumber:BorneoPost