MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Peminat raikan kejayaan Sarawak jadi juara Liga Perdana

PASUKAN Sarawak diarak menggunakan sebuah bas yang diubah suai untuk membawa para pemain dan Piala Liga Perdana mengelilingi Bandaraya Kuching, Sarawak, kelmarin.

KUCHING 30 Jun - Lebih 5,000 penyokong Sarawak membanjiri pekarangan Padang Merdeka, di sini bagi meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka itu menjuarai Liga Perdana musim ini.

Kemeriahan semakin dirasai apabila para pemain skuad Bujang Senang itu diarak menaiki sebuah bas melalui beberapa jalan utama sekitar bandar raya ini.

Perasaan teruja para pengunjung yang berpakaian serba merah juga bertambah apabila mereka berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan para pemain.

Rata-rata mereka menyifatkan kejayaan tersebut sebagai antara pencapaian paling manis Sarawak yang kali terakhir menjulang trofi juara Liga Perdana 16 tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman melahirkan penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap pasukan Sarawak.

"Terima kasih kepada barisan pemain, jurulatih serta pihak pengurusan yang bekerja keras sepanjang Liga Perdana berlangsung.

"Terima kasih juga kepada para peminat yang sentiasa setia bersama pasukan Sarawak. Kejayaan ini adalah milik semua," katanya ketika berucap dalam majlis itu, di sini semalam.

Sarawak dinobatkan sebagai juara Liga Perdana musim ini selepas menang besar 4-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Negeri, Isnin lalu.


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Source utusan malaysia