MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Ribuan kunjungi Regata Sarawak

Ribuan warga tempatan dan antarabangsa mengunjungi Regata Sarawak yang diadakan sejak 1872 sehingga kini.

Acara pertandingan tertua di Sarawak itu terus mendapat sambutan warga tempatan serta penyertaan luar negara melibatkan perlumbaan perahu dan perahu naga.

Selain itu, terdapat juga tapak pameran dan jualan yang menjadi titik pertemuan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh pelosok negeri.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, acara tersebut telah diadakan lebih 100 tahun dahulu iaitu diperkenalkan semasa pemerintahan Raja Brooke bagi menghentikan persengketaan antara puak yang mengamalkan pemburuan kepala.

Katanya, puak-puak itu akan bertanding berlumba perahu antara satu sama lain.

"Regata Sarawak ini tidak aneh bagi orang Sarawak dengan sungai yang banyak di sini malah sungai terpanjang di Malaysia dan ketiga berada di sini iaitu Sungai Rajang dan Sungai Baram.

"Regata itu juga mengetengahkan kepelbagaian budaya masyarakat di negeri ini," katanya demikian ketika berucap selepas merasmikan Regata Sarawak 2014 di sini semalam.

Regata Sarawak merupakan temasya terkenal dan berprestij di negeri ini dan negara yang diadakan setiap tahun di Tebingan Kuching, Sungai Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau mengucapkan penghargaan atas penglibatan semua pihak termasuk penyertaan luar negara iaitu dari Australia, Kanada, Hong Kong, Macau, Brunei, Singapura, Filipina, Thailand, Taiwan dan Indonesia.


Sumber:Utusan Malaysia