MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Sarawak

Tragedi perahu panjang terbalik

INILAH bot panjang yang dinaiki kesemua mangsa semalam.


BINTULU – Seorang penum­pang ditemui mati lemas manakala enam lagi hilang dipercayai lemas apabila bot panjang yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Kemena di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, pemandu lelaki perahu panjang berkenaan, Jonnie Ganeng, 31, berjaya menyelamatkan diri manakala mayat seorang lagi penumpang wanita, Jaba Lembang, 63, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Difahamkan, perahu sepanjang empat meter yang dinaiki lapan individu berlainan keluarga itu mengalami masalah enjin sebelum dihanyutkan arus lalu bertembung dengan tongkang yang berlabuh di sungai berkenaan.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, seorang mangsa yang selamat berjaya berenang ke daratan selepas kejadian itu dan dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

“Sehingga pukul 8 malam tadi (semalam), seramai 10 anggota bomba dari Balai Bintulu bersama Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis marin serta penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, namun masih gagal menemui enam mangsa itu.

“Tiada maklumat lengkap berhubung identiti mangsa yang hilang. Kami menggunakan kaedah pencarian di atas air kerana keadaan arus deras serta air surut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut katanya, pasukan penyelam bomba masih me­nunggu keadaan air pasang untuk operasi mencari dalam air dan operasi masih diteruskan sehingga lewat malam tadi.

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Source  Kosmo